6 pengundi PRK Chini negatif Covid-19 


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 140 petugas kesihatan dihantar ke 13 pusat mengundi untuk memantau situasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

ENAM orang pengundi pilihan raya kecil Chini, yang menunjukkan gejala Covid-19 disahkan negatif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Setakat ini tiada seorang pun daripada mereka dikesan positif Covid-19,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mereka diasingkan selepas mengalami simptom seperti batuk dan selesema.

Kesemua mereka sempat membuang undi.

Seramai 98 pengundi pada pilihan raya itu Sabtu lalu dirujuk ke khemah rawatan.

Noor Hisham berkata, penguundi yang gagal melepasi pemeriksaan suhu badan dan menunjukkan gejala dibenarkan membuang undi dalam khemah khas dengan prosedur tertentu.

“140 petugas kesihatan dihantar ke 13 pusat mengundi untuk memantau situasi,” tambahnya.– 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen