Pemantauan kluster tabligh dihentikan tidak lama lagi, kata KP Kesihatan 


Ragananthini Vethasalam

Perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang diadakan selama beberapa hari pada akhir Februari hingga awal Mac menyebabkan peularan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

PEMANTAUAN terhadap kluster Covid-19 tabligh Sri Petaling boleh ditamatkan dalam seminggu atau dua minggu lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ini kerana tiada kes jangkitan baharu dikesan daripada kluster Covid-19 terbesar di negara ini hari ini, manakala jumlah kes aktif daripada kluster ini hanya satu.

“Kami harap kita dapat tamatkan pemantauan dan pemerhatian kluster ini dalam masa satu atau dua minggu,” kata Noor Hisham kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau juga menyatakan kejayaan mengekang koronavirus dalam kluster ini adalah hasil usahasama daripada kementerian dan agensi lain untuk kerja pengesanan kontak.

Dr Noor Hisham turut memuji peserta tabligh yang memberikan kerjasama dan tampil untuk ujian saringan.

Dianggarkan 16,000 orang hadir pada perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang diadakan beberapa hari pada akhir Februari hingga awal Mac.

Ia menjadi kluster Covid-19 terbesar di negara ini dengan lima generasi jangkitan.

Sebanyak 42,023 sampel diambil dan 3,375 orang disahkan positif koronavirus.

34 kematian turut dilaporkan daripada kluster ini, manakala jumlah pulih adalah 3,340. – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen