Azhar, Azalina dicalon sebagai speaker, timbalan speaker Dewan Rakyat 


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dicalonkan bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dicalon untuk menggantikan Sepaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Usul itu sudah dihantar ke Parlimen.

Mohamad Ariff berkata beliau tidak boleh memberikan butiran lanjut berhubung bila atau oleh siapa usul itu dihantar.

“Lebih baik dapatkan butiran itu dengan perdana menteri atau menteri kerana saya tiada komen tambahan,” kata sepaker Dewan Rakyat kepada The Malaysian Insight menerusi WhatsApp hari ini.

Pada 30 Jun, sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Putrajaya telah mencalonkan Azhar untuk menggantikan Mohamad Ariff.

Difahamkan, Azhar yang juga dikenali sebagai Art Harun, meletakkan jawatan sehari sebelum itu.

“Beliau menghantar peletakan jawatan. Tetapi terpulang kepada Parlimen untuk bahaskan pencalonannya pada persidangan 13 Julai,” kata sumber.

“Ia juga boleh berlaku sebaliknya tetapi Perikatan Nasional mempunyai majoriti untuk meneruskan pencalonan,” kata seorang lagi sumber kepada The Malaysian Insight.

Azhar bagaimanapun belum mengesahkan pelbagai laporan berita berhubung perkara itu.

Mengikut konvensyen, ahli Parlimen diberi masa sehingga 14 hari untuk mencalonkan speaker baharu apabila jawatan itu dikosongkan. Sekiranya lebih seorang calon dicadangkan, ia akan ditentukan melalui undian.

Azhar dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini untuk menerajui SPR selepas pilihan raya umum pada 2018 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sejak 1974.

Anak jati Kedah yang berusia 58 tahun itu, sebelum ini dikenali sebagai peguam hak asasi manusia dan juga penulis.

Muhyiddin menghantar usul bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming, pada 26 Jun.

Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon yang merupakan seorang lagi timbalan speaker bagaimanapun tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.

Perdana menteri dijangka akan membentangkan usul bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat pada hari pertama sidang Parlimen 13 Julai ini.

Nga merupakan ahli Parlimen DAP manakala Ariff merupakan hakim bersara dan dipuji oleh kedua-dua pihak kerana membuat pembaharuan Parlimen sejak memegang jawatan itu pada 2018. – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen