India muncul negara ketiga paling banyak kes Covid-19 


Petugas kesihatan India mengambil sampel ujian Covid-19 daripada salah seorang penduduk di kawasan perumahan di Bhopal Gas.– Gambar EPA, 6 Julai, 2020.

INDIA kini muncul negara ketiga paling banyak merekodkan kes jangkitan Covid-19 mengatasi Rusia, dengan jumlah kes menghampiri 700,000.

Mumbai, New Delhi, Chennai dan Ahmedabad antara bandar paling teruk terjejas dan hospital untuk merawat pesakit Covid-19 kini terpaksa mengendalikan lebih banyak kes baharu.

Negeri Maharashtra mencatatkan lebih 206,000 kes, diikuti Tamil Nadu (111,000), New Delhi (100,000 kes) dan Gujarat (36,000 kes), menurut angka dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Jumlah kes meningkat 24,248 dalam tempoh 24 jam manakala korban meningkat 425 orang kepada 19,693, kata kementerian itu.

Lonjakan kes itu menjadikan India kini berada di belakang Brazil dan Amerika Syarikat.

Berikutan peningkatan kes itu, New Delhi membuka sebuah kemudahan khas merawat pesakit Covid-19 yang dilengkapi 10,000 katil, dikendalikan pasukan separa tentera Indo-Tibet Border Police (ITBP).

Selain itu, pihak berkuasa ubat-ubatan India turut meluluskan dua ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dilaksanakan syarikat tempatan.– Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen