Kes Covid-19 Arab Saudi lepasi 200,000 


Amalan penjarakan sosial turut diwajibkan di masjid Jeddah, Arab Saudi sebagai langkah menangani penularan Covid-19.– Gambar EPA, 5 Julai, 2020.

KES Covid-19 di Arab Saudi melepadi 200,000 menurut kementerian kesihatannya, beberapa minggu sebelum musim haji.

Negara yang paling teruk terjejas di Timur Tengah itu mengesahkan 201,801 kes termasuk 4,193 kes baharu pada Jumaat, dengan 1,802 kematian.

Manakala lebih 140,000 yang menerima rawatan telah disahkan pulih.

Ketika negara berkenaan menyekat kemasukan jemaah haji berikutan pandemik, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan kira-kira 1,000 jemaah yang sedia ada dalam negara itu untuk menunaikan haji.

Pada 2019, lebih 2,5 juta jemaah haji ke negara itu daripada seluruh dunia.

Tahun ini, musim haji akan diteruskan di bawah protokol kebersihan yang ketat, dengan sekatan terhadap jemaah berusia 65 tahun ke atas dan tanpa penyakit kronik.

Jemaah akan menjalani ujian apabila tiba di kota Mekah dan akan menjalani kuarantin sebaik selesai menunaikan ibadah itu. – AFP, 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen