Lelaki India bergaya dengan pelitup muka emas


Pelitup muka emas seberat 60 gram dan memerlukan tukang emas lapan hari untuk membuatnya, kata ahli perniagaan Shankar Kurhade. – Gambar AFP, 5 Julai, 2020.

SEORANG lelaki India berkata beliau membayar AS$4,000 untuk pelitup muka emas bagi melindunginya daripada Covid-19 yang mengganas di negaranya.

Pelitup muka emas seberat 60 gram itu memerlukan tukang emas lapan hari untuk membuatnya, kata ahli perniagaan Shankar Kurhade, dari bandar Pune.

“Ia pelitup muka nipis dan ada lubang halus untuk bantu saya bernafas,” kata Shankar kepada AFP.

“Saya tak pasti sama ada ia berkesan untuk melindungi daripada jangkitan koronavirus tetapi saya juga ambil langkah pencegahan lain,” tambahnya.

Apabila keluar, lelaki berusia 49 tahun itu berkata, beliau suka memakai barangan kemas emas berkilo beratnya, termasuklah gelang, rantai dan cincin di setiap jarinya.

Kurhade- pemilik syarikat pembuat perkakas industri- berkata beliau mendapat idea membuat pelitup muka emas selepas membaca laporan berita seorang lelaki memakai pelitup muka perak

“Orang minta saya berswafoto,” katanya.

“Mereka kagum tengok saya pakai pelitup emas di pasar.”

India mewajibkan pemakaian pelitup muka di ruang awam bagi mengekang penularan Covid-19 yang kini sudah menjangkiti 650,000 orang dengan lebih 18,600 kematian. – AFP, 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen