Tentera Syria dan pengganas IS bertempur, lebih 50 maut


Perang Syria sudah membunuh lebih 380,000 orang sejak bermula pada 2011 dengan protes anti kerajaan, sebelum berubah menjadi perang lebih rumit melibatkan kuasa dunia dan pengganas. – Gambar EPA, 5 Julai, 2020.

PERTEMPURAN dua hari antara tentera Syria disokong Rusia dan kumpulan Negara Islam membunuh lebih 50 orang, kata badan pemantau perang berpangkalan di Britain, semalam.

Pertempuran dan serangan udara dilancarkan Rusia di bandar tengah gurun, Homs, sejak Khamis sudah mengorbankan 20 orang pro kerajaan dan 31 pengganas, kata Syria Observatory for Human Rights.

“Pertempuran bermula pada malam Khamis hingga Jumaat dengan puak pengganas menyerang kedudukan tentera kerajaan berhampiran bandar Al Sukhna,” kata Ketua Observatory Rami Abdel Rahman.

Pengganas IS masih wujud di gurun Badia, Syria, walaupun kehilangan jajahan mereka tahun lepas. Mereka kerap melakukan serangan di sana.

IS mengisytiharkan “khalifah” rentas sempadan di Syria dan Iraq pada 2014, tetapi kempen ketenteraan berjaya menyingkirkan mereka.

Perang Syria sudah membunuh lebih 380,000 orang sejak bermula pada 2011 dengan protes anti kerajaan, sebelum berubah menjadi perang lebih rumit melibatkan kuasa dunia dan pengganas. – AFP, 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen