Tujuh cedera dalam pengeboman kereta di Mogadishu


Somalia mengalami konflik berterusan selama hampir 30 tahun, kerajaan negara itu yang disokong dunia antarabangsa masih menangani pemberontak dari kumpulan Shabaab sejak 2008. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

SEKURANG-kurangnya tujuh orang cedera pada hari Sabtu ketika polis menembak pengebom bunuh diri di pusat pemeriksaan di ibu kota Somalia Mogadishu, kata polis dan beberapa orang saksi.

“Seorang pengebom bunuh diri cuba menyerang pos polis di depan pelabuhan namun pasukan keselamatan berjaya menembaknya dan kenderaan dinaikinya meletup,” kata pegawai polis Abdukadir Ahmed.

“Dua pegawai polis dan lima orang awam cedera,” katanya.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Saksi berkata bahawa pegawai polis melepaskan tembakan ke sebuah kenderaan setelah ia gagal berhenti di pusat pemeriksaan polis.

Somalia mengalami konflik berterusan selama hampir 30 tahun, kerajaan negara itu yang disokong dunia antarabangsa masih menangani pemberontak dari kumpulan Shabaab sejak 2008.

Pengeboman dan serangan lain pengganas adalah perkara biasa di Mogadishu, walaupun dalam beberapa bulan kebelakangan ini mencatatkan pengurangan. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen