75,000 diarah pindah hujan lebat landa Jepun


Paras air Sungai Kuma naik di Yatsushiro, Kumamoto, barat daya Jepun susulan hujan lebat yang memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan lebih 75,000 penduduk. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

KIRA-KIRA 75,000 orang diarah berpindah di barat Jepun pada Sabtu susulan hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh, menyebabkan ramai terkandas dan 13 lagi hilang, menurut media dan pegawai tempatan.

Agensi kaji cuaca negara mengeluarkan amaran hujan lebat tahap kecemasan tertinggi untuk Kumamoto dan Kagoshima di pulau Kyushu.

Rakaman televisyen menunjukkan kenderaan memenuhi tempat letak kereta berhampiran sungai yang banjir, sementara beberapa jambatan dilaporkan hanyut.

Penyelamat mencari tiga orang di Kumamoto selepas tanah runtuh menimbus rumah mereka, kata penyiar awam NHK.

“Kami mengeluarkan perintah pemindahan selepas merekodkan hujan lebat,” kata Toshiaki Mizukami, pegawai di Kumamoto.

“Kami menggesa orang ramai mengambil tindakan melindungi nyawa mereka kerana hujan masih lebat,” katanya kepada AFP.

Kyodo News melaporkan 75,000 penduduk di Kumamoto dan Kagoshima diarah mengosongkan kediaman mereka, dengan hampir 100 orang dilaporkan terkandas.

Pihak berkuasa tempatan meminta tentera menyertai operasi menyelamat, kata NHK.

Beberapa perkhidmatan kereta api, termasuk operasi kereta api laju Shinkansen, digantung di wilayah ini.

Jepun ketika ini mengalami musim hujan, yang sering menyebabkan banjir dan tanah runtuh dan mendorong pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perintah pemindahan.

Setakat ini tiada nyawa terkorban atau kecederaan dilaporkan. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen