Berkorban ketika wabak, tugu penghantar barangan dibina di Moscow


Tugu besi penghantar makanan itu dibuat ketika pekerja memprotes persekitaran kerja yang tidak adil untuk mereka. – Gambar AFP, 4 Julai, 2020.

SEKUMPULAN syarikat e-dagang Rusia semalam berkata mereka akan membina tugu di Moscow sebagai tanda penghargaan kepada penghantar barang yang membantu rakyat ketika perintah berkurung wabak Covid-19.

Penghargaan itu dibuat selepas sebilangan pekerja penghantar barang, kebanyakan mereka adalah pendatang dari Asia Tengah, melakukan protes kerana persekitaran kerja tidak adil.

Syarikat runcit dalam talian, Ozon, yang dianggap Amazon Rusia, serta beberapa pasar raya dan perkhidmatan penghantaran makanan berkata mereka akan bersama-sama menyumbang untuk pembinaan tugu itu di selatan Moscow.

Tugu besi itu direka Alexei Garikovich menampilkan bayangan penghantar barangan memegang telefon dan berdiri di sebelah kotak.

Catatan tugu berbunyi: “Kepada mereka yang memungkinkan pengasingan diri.”

Penganjur dalam kenyataan berkata mereka mahu “membangkitkan sumbangan pekerja hadapan yang terus melakukan perkhidmatan penting di seluruh negara.”

Di Moscow “terdapat lebih 600,000 pekerja bekerja ketika perintah berkurung kerana permintaan penghantaran barangan melonjak mendadak,” katanya.

Permintaan untuk penghantaran barangan dalam talian melonjak ketika Rusia mengenakan perintah berkurung bermula hujung March sehingga dibatalkan perlahan-lahan pada pertengahan Mei.

Ramai penghantar menggunakan basikal atau motosikal melalui jalan legang untuk menghantar barangan runcit, kotak barangan dan makanan.

Penghantar makanan syarikat terlibat dalam projek itu, Delivery Club, pada Jun lalu mengadakan mogok kerana peluasan kawasan penghantaran daripada 3 kepada 5 kilometer bagi mereka yang memiliki kenderaan serta denda kepada pekerja yang gagal memenuhi tempoh masa.

Delivery Club dimiliki gergasi internet Mail.ru dan Sberbank.

Dalam video dimuat naik dalam Telegram, pekerja mogok di bandar Khimki melaungkan: “Kami bukan robot, kami bukan hamba abdi!”

Delivery Club kemudiannya membatalkan peluaskan kawasan penghantaran dan tidak akan mendenda pekerja yang terlibat.

Ketua Kesatuan Pekerja Penghantaran Rusia Ivan Vaiss juga berkempen untuk memperbaiki persekitaran kerja, menyifatkan tugu itu sebagai “penghargaan yang baik”.

“Sukar untuk mengjangkakan sumbangan penghantar barangan kepada penduduk bandar besar, terutama ketika pandemik,” katanya.

Katanya, terdapat pekerja yang dijangkiti virus ketika bekerja dan peguam kesatuan sedang berusaha mendapatkan pampasan untuk mereka.

Purata gaji bulanan untuk penghantar barangan tanpa kereta di Moscow adalah sekitar 34,000 (AS$475.50) menurut sebuah laman web, dan mereka yang ada kereta meraih sekitar 50,000 rubles bergantung kepada jumlah penghantaran dibuat. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen