Peguam bela dibenarkan periksa bangkai pesawat MH17


Peguam bela Boudewijn van Eijck (kanan) dan Sabine ten Doesschate (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Schiphol di Badhoevedorp, Belanda, pada 22 Jun 2020. Mahkamah menyambung perbicaraan empat suspek nahas pesawat Malaysia Airlines MH17. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

PEGUAM BELA suspek warga Rusia yang sedang dibicarakan berhubung nahas MH17 akan dibenarkan memeriksa sebahagian bangkai pesawat yang ditemui, kata hakim Belanda semalam.

Para hakim membenarkan permintaan itu selepas peguam Oleg Pulatov, satu-satunya suspek daripada empat individu yang memiliki wakil undang-undang, berkata mereka ingin menyiasat teori alternatif kejadian tembak pesawat Malaysia Airlines pada 2014.

Pendakwa dan penyiasat antarabangsa berkata Boeing 777 itu ditembak peluru berpandu BUK buatan Rusia, membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

“Pihak pembelaan ingin menguji senario yang dipilih oleh pihak Perkhidmatan Pendakwaan Awam dalam dakwaannya yang MH17 ditembak oleh BUK,” kata Hakim Hendrik Steenhuis.
Beliau mengarahkan pendakwa raya “memberi pihak pembelaan peluang melihat binaan semula MH17 ... dengan seorang pakar yang mereka pilih”.

Penyiasat pada 2015 dengan susah payah membina semula sebahagian pesawat di pangkalan udara tentera Belanda, menggunakan serpihan bangkai pesawat yang ditemui dari timur Ukraine.

Peguam Pulatov menyebut “beberapa orang mendakwa corak kerosakan MH17 menunjukkan tanda terdapatnya lebih daripada satu senjata lain”, kata Steenhuis.

Pihak Rusia sebelum ini secara terbuka menyokong teori sama yang jet Ukraine menembak MH17 sejurus selepas nahas itu.

Steenhuis berkata selepas bangkai pesawat diperiksa, pakar akan diizinkan untuk menyerahkan laporan untuk diteliti oleh pakar penerbangan tentera Belanda dan pendakwa raya.

Pendakwa raya bulan lalu berhujah mengenai teori jet pejuang dengan berkata penyiasat memeriksa data radar yang menunjukkan tiada pesawat tentera di kawasan berkenaan pada masa itu.

Mereka juga berkata Rusia turut menolak teori tersebut selepas mengakui kesilapan perincian radar yang menunjukkan terdapat pesawat lain berada di sekitarnyanya.

Para pendakwa berpendapat empat orang yang diadili berperanan membawa sistem peluru berpandu BUK ke Ukraine dari pangkalan asalnya di Rusia - walaupun mereka bukanlah individu yang menembak.

Pulatov bersama rakan warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko didakwa oleh pendakwa raya Belanda atas tuduhan membunuh dan menyebabkan nahas itu.

Kes ditangguhkan pada musim panas dan akan disambung pada 31 Ogos. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen