Anak Mat Sabu dipenjara 8 bulan salah guna dadah


ANAK Mohamad Sabu dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dadah tahun lepas.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Ahmad Saiful Islam Mohamad gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Jika tertuduh mengaku bersalah sebelum ini, hukumannya mungkin lebih ringan,” kata Aizat, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam bela Nasar Khan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Dengan itu, hukuman penjara lapan bulan bermula hari ini.

Ahmad Saiful ditahan dalam satu operasi bahagian siasatan jenayah narkotik di sebuah pusat hiburan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 Januari 2019.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 13 Jun 2019, beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah.

Ahmad Saiful sebelum itu dilaporkan positif dadah bersama seorang lagi rakannya.

Selepas perbicaraan, mahkamah pada 3 Januari lalu memerintah Ahmad Saiful membela diri.

“Daripada keterangan, mahkamah mendapati rantaian kes pendakwaan tidak pernah terputus dan kes siasatan berjalan dengan teratur.

“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keterangan dan hujah, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dan tertuduh diperintah membela diri,” kata Mohamad Aizat, semasa memanggil Ahmad Saiful membela diri. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen