Polis Mesir tahan aktivis terkemuka


Sanaa Seif ditahan atas dakwaan menghasut tunjuk perasaan dan menyebarkan maklumat palsu mengenai penularan Covid-19 di penjara Mesir. – Gambar AFP, 24 Jun, 2020.

PIHAK berkuasa Mesir semalam menahan aktivis wanita terkemuka, Sanaa Seif, atas dakwaan menghasut tunjuk perasaan dan menyebarkan maklumat palsu mengenai penularan Covid-19 di penjara.

Sanaa, 26, ditahan di luar pejabat pendakwa raya dan dibawa polis menaiki sebuah bas mini, kata peguamnya Khaled Ali.

Sanaa adik kepada aktivis Alaa Abdel Fattah yang memimpin pemberontakan terhadap bekas presiden Hosni Mubarak pada 2011. Abdel Fattah kini berada dalam penjara.

Ibu mereka adalah aktivis hak asasi Laila Soueif.

Pendakwa raya berkata Sanaa ditahan berdasarkan waran tangkapan yang dikeluarkan pada Ahad lalum dan akan dipenjarakan selama 15 hari sementara siasatan dijalankan.

Sanaa didakwa menghasut protes dan menyebarkan berita palsu di media sosial mengenai wabak Covid-19 di penjara Mesir, tambah pendakwa raya.

Sanaa dan ahli keluarganya berada di pejabat pendakwa raya semalam untuk memfailkan aduan selepas diserang di luar sebuah penjara pada Isnin.

Adik Sanaa, Mona Seif, berkata Isnin lalu mereka diserang sekumpulan wanita di luar penjara Tora di Kaherah. Abang mereka, Alaa ditahan di penjara tersebut.

“Kami diserang sekumpulan wanita, rambut kami ditarik, pakaian kami dikoyakkan di depan penjara Tora. Kejadian disaksikan polis,” tulis Mona di Twitter.

Amnesty International mengutuk serangan dan penahanan Sanaa. – AFP, 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen