Umno tak layak dabik dada beri diskaun bil elektrik, kata DAP


Bekas menteri tenaga Yeo Bee Yin berkata diskaun elektrik RM1 bilion daripada dana KWIE adalah hasil usaha kerajaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

UMNO dan Najib Razak tidak layak menuntut penghargaan sebagai pihak yang berjasa membantu mengurangkan beban rakyat dengan memberi diskaun bil elektrik, kata bekas menteri DAP.

Ini kerana dana untuk diskaun bil elektrik yang diumum kerajaan semalam diraih daripada dana diusahakan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya jasa Umno, kata Yeo Bee Yin.

Bekas menteri tenaga itu berkata peruntukan RM1 bilion untuk diskaun yang diumumkan menteri Umno semalam sama dengan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Namun menteri tersebut, Shamsul Anuar Nasarah semalam menyatakan dana bantuan RM1 bilion itu seolah-olah jasa kerajaan Umno padahal dana tersebut hasil usaha kerajaan PH, katanya

“Pengumuman menteri (semalam) seolah-olahnya semua bantuan adalah ‘jasa kerajaan Perikatan Nasional (atau jasa Umno’ tetapi sebenarnya dana tersebut adalah daripada KWIE.

“Bukan sahaja itu, semua diskaun bil elektrik yang dinikmati rakyat sepanjang Covid19 dan diwar-warkan sebagai ‘jasa Umno’ sebenarnya dana dari KWIE,” katanya di Facebook.

Beliau menjelaskan, dana KWIE dianggar lebih RM1.5 bilion bulan ini hasil usaha dijalankan semasa beliau menjadi menteri tenaga untuk menampung beban rakyat dan menstabilkan tarif elektrik.

Tambahnya, RM 1.37 bilion daripadanya merupakan hasil mekanisme Imbalance-Cost-Past-Through (ICPT) yang ditetapkan kerajaan PH untuk tempoh Januari ke Jun 2020.

Ia hasil surcaj bahan api dari pengguna komersial dan industri sejumlah RM 594 juta dan penjimatan daripada pelarasan hasil Incentive-Based-Regulation (IBR) sejumlah RM 774 juta.

“Dengan mengambil kira peruntukan untuk menampung diskaun yang telah diumumkan bawah pakej rangsangan ekonomi Covid-19, dianggarkan lebih kurang RM1 bilion lagi dana KWIE boleh disalurkan.

“Angka ini bersamaan dengan jumlah yang dijangka untuk bantuan bil elektrik yang diumumkan oleh menteri (semalam),” kata Yeo lagi.

Bekas pengerusi Umno Najib Razak tidak layak mendakwa diskaun diumumkan kerajaan merupakan hasil usaha kerajaan Perikatan Nasional, katanya lagi.

“Najib Razak boleh tanya menteri Umno sendiri. Adakah dana untuk bantuan bil elektrik daripada KWIE?

“Jika dari KWIE, (dana) KWIE sekarang tinggi kerana keputusan dan rancangan yang dibuat di bawah pentabiran Pakatan Harapan. 

“Tolonglah Umno, jangan sibuk tuntut penghargaan,” kata Yeo lagi. 

Shamsul semalam mengumumkan tambahan diskaun kepada pengguna melibatkan kadar berperingkat.

Ia merupakan tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan terdahulu. – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen