Afrika Selatan catat lebih 80,000 kes Covid-19 


Petugas kesihatan mendengar taklimat sebelum meneruskan tugas di sebuah hospital di Cape Town, Afrika Selatan.– Gambar EPA, 18 Jun, 2020.

AFRIKA Selatan setakat ini mencatatkan sebanyak 80,412 kes disahkan dengan 1,670 kematian sejak wabak Covid-19 mula melanda pada awal Mac, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, 44,331 pesakit pulih kata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada Rabu.

Melalui sekatan pergerakan yang dikuat kuasa, negara telah berjaya mengekang penularan virus itu namun tugas ini belum selesai, katanya.

“Walaupun selepas 100 hari, kita masih lagi hampir dengan wabak ini dan ia akan tetap bersama kita selama berbulan-bulan lagi, mungkin bertahun-tahun,” kata presiden.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, jumlah jangkitan meningkat mendadak di negara ini.

“Ini mungkin disebabkan negara secara bertahap membuka semula aktiviti dan risiko jangkitan pasti meningkat,” kata Ramaphosa.

Justeru, beliau meminta rakyat mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga jarak sosial, sebagai cara berkesan untuk mengurangkan kemungkinan dijangkiti atau menjangkiti orang lain.

“Amalan asas ini sekarang menjadi sangat penting,” kata Ramaphosa.

Mengulas mengenai kekurangan bekalan perubatan, presiden berkata kerajaan berusaha memastikan bekalan diperlukan mencukupi dan meningkatkan kapasiti ujian saringan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan bersama-sama negara lain di benua Afrika ialah dengan mewujudkan Portal Bekalan Perubatan Afrika.

Portal itu bertindak sebagai pasaran untuk negara-negara Afrika mengakses bekalan perubatan kritikal, seperti kit ujian dari pembekal dan pengeluar di Afrika dan seluruh dunia dengan harga yang kompetitif. – Bernama, 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen