Putrajaya sekali lagi ditadbir kerajaan kleptokrat, kata Dr Mahathir


Dalam tulisan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di blognya hari ini beliau berkata mereka yang bersama-sama Muhyiddin adalah yang berpegang pada fahaman "duit adalah segala-galanya". – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PUTRAJAYA sekali lagi ditadbir oleh kerajaan kleptokrat yang boleh menghancurkan Malaysia dan orang Melayu, kata Dr Mahathir Mohamad, seminggu selepas beliau memanggil kerajaan ini sebagai “kerajaan Muhyiddin”.

Katanya, hampir semua yang menganggotai kerajaan Muhyiddin terdiri daripada mereka yang mengutamakan jawatan.

“Perjuangan untuk hapuskan kleptokrat dilupakan. Sebaliknya terdapat sokongan oleh mereka (Muhyiddin dan bekas ahli politik Pakatan Harapan) untuk bebas kleptokrat yang sekarang menjadi rakan mereka. 

“Amat malang bagi rakyat yang telah kalahkan parti kleptokrat, tetapi sekarang sekali lagi mendapat Kerajaan Kleptokrat melalui pintu belakang,” katanya dalam satu tulisan di blognya, hari ini.

Tulisan bekas perdana menteri hari ini adalah sambungan kepada tulisan seminggu yang lalu di blog yang sama. 

Melawan kerajaan kleptokrat dan menyelamatkan Malaysia adalah tema kempen PH yang diketuai Dr Mahathir dalam pilihan raya umum Mei 2018, yang menumbangkan Najib Razak dan barisan Nasional (BN).

Menurut Dr Mahathir, mereka yang bersama-sama Muhyiddin adalah yang berpegang pada fahaman “duit adalah segala-galanya”.

Mereka ini akan menghancurkan negara dan orang Melayu, dan bukannya DAP, seperti yang dipercayai oleh sesetengah bekas pemimpin PH sehingga mereka terpengaruh dengan gerakan menubuhkan “kerajaan Melayu-Islam”.

Katanya, orang Melayu boleh hancur kerana pemimpin kerajaan kleptokrat pada pandangannya mudah mungkir janji, pentingkan diri sendiri, serta mudah terpengaruh dengan kedudukan.

Kebanyakan mereka juga tiada kelayakan selain hanya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri. 

“Kerajaan seperti ini akan rosakkan dan hancurkan negara termasuk orang Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji ahli dan pemimpin Bersatu yang tidak bersama-sama dengan Muhyiddin.

“Saya ucap syabas kepada mereka yang berani tolak tawaran Muhyiddin dan sanggup digugur dari parti (secara tidak sah) dan kehilangan pelbagai peruntukan untuk kawasan. 

“Orang seperti ini sahaja yang boleh selamatkan negara dan orang Melayu,” tambahnya.

Bersatu kini terpecah dua selepas Muhyiddin pada hujung Februari menarik parti itu keluar dari Pakatan Harapan.

Beliau seterusnya membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional (BN), yang mendapat sokongan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir dan penyokongnya mendakwa tindakan Muhyiddin tidak mendapat mandat parti.

Muhyiddin dan pendukungnya bagaimanapun menegaskan langkah mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu.

Dr Mahathir meneruskan serangannya ke atas Muhyiddin seminggu selepas membawa perbalahannya dengan presiden Bersatu ke mahkamah. 

Dalam samannya, yang juga dikemukakan bagi pihak Bersatu, Dr Mahathir menegaskan beliau masih pengerusi parti yang sah turut meminta perisytiharan mahkamah antara lain bahawa Muhyiddin bukan lagi ahli Bersatu. – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen