Thailand hanya rekod 2 kes baharu Covid-19


Thailand mengesahkan dua kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu sebanyak 3,104 kes. – Gambar EPA, 6 Jun, 2020.

THAILAND melaporkan dua kes baharu Covid-19 membabitkan dua lelaki Thai yang baru pulang dari luar negara, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata lelaki berkenaan ialah pelajar berusia 22 tahun yang baru pulang dari Rusia manakala seorang lagi pekerja kilang berusia 39 tahun yang pulang dari Kuwait.

“Kedua-dua pesakit tanpa gejala itu menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti kerajaan sejak kembali ke negara ini.

“Tiada kes baharu tempatan dilaporkan dalam tempoh 12 hari,” katanya pada taklimat media harian perkembangan Covid-19 hari ini. 

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Thailand (DOH) menyarankan agar mengehadkan pelawat di tempat tumpuan pelancongan untuk mencegah peningkatan kes Covid-19 kerana kerajaan Thailand bercadang untuk melonggarkan larangan dalam fasa keempat, dijangka bermula 15 Jun.

Ketua Pengarah DOH Panpimol Wipulakorn berkata tempat tumpuan pelancongan perlu mengamalkan kebiasaan baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Bagi pengusaha pelancongan pula, beliau berkata mereka perlu menyediakan cecair pembasmi kuman, manakala tandas dan bilik air di kawasan pantai perlu dibersihkan setiap dua jam.

 “Pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan garis panduan dan langkah-langkah untuk mengehadkan jumlah pelawat ke pantai bagi mengelakkan keadaan sesak,” katanya dipetik dalam Bangkok Post. – Bernama, 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen