Kes Covid-19 di Indonesia terus meningkat


Petugas kesihatan Indonesia mengambil sampel daripada pekerja yang baru pulang dari Malaysia untuk ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya pada 9 April lalu. – Gambar EPA, 6 Jun, 2020.

KES positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat, melepasi angka 30,000 dengan 993 kes baharu, dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 31 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,801 orang, manakala kes positif kini berjumlah 30,514 kes.

“Seramai 13,347 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Peningkatan kes positif berlaku drastik di wilayah Jawa Timur, iaitu 286 kes positif baharu dan 17 kematian dalam tempoh 24 jam berkenaan.

Tiada kes kematian di provinsi Jakarta untuk tempoh 24 jam itu, namun Jakarta masih mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 524 kes, diikuti Jawa Timur (464 kes), Jawa Barat (158) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama, 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen