Wan Zulkiflee dilantik terajui syarikat penerbangan nasional


Bagi menggantikan Wan Zulkiflee, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pula dilantik bagi jawatan tersebut di syarikat minyak nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun 2020.

PRESIDEN dan ketua eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik sebagai pengerusi baharu Malaysia Airlines Berhad (MAB), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Bagi menggantikan Wan Zulkiflee, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pula dilantik bagi jawatan tersebut di syarikat minyak nasional.

Kedua-dua lantikan berkuat kuasa mulai 1 Jun, kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat kerajaan yang perlu diperkukuhkan bagi menghadapi norma dunia yang baharu. 

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik Kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.” kata Muhyiddin.

Berita mengenai peletakan jawatan Wan Zulkiflee tular di media sosial semalam. Beliau telah bersama Petronas selama 37 tahun dan menjadi presiden serta pengarah eksekutifnya sejak lima tahun yang lalu.

Kontrak beliau untuk jawatan tersebut diperbaharui selama tiga tahun mulai April 2018, menjadikan khidmat beliau tamat lebih awal dari jadual.

Petronas awal hari ini enggan mengulas mengenai peletakan jawatan Wan Zulkiflee.

Muhyiddin turut memuji Wan Zulkiflee di atas khidmat beliau membina syarikat petroleum negara itu sehingga menjadi satu-satunya GLC yang tersenarai dalam senarai Fortune Global 500.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik.” kata perdana menteri. – 6 Jun 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen