Biar Umno menang percuma di Chini, kata MB Pahang


BN Pahang gesa semua parti politik dan calon Bebas tidak bertanding dalam PRK DUN Chini untuk menjimatkan kos dan mengelak jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

BARISAN Nasional (BN) Pahang menggesa semua parti politik dan calon Bebas tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini untuk menjimatkan kos dan mengelak jangkitan Covid-19.

Pengerusinya, Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia selari dengan saranan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar Pilihan Raya Umum (PRU) tidak dilakukan pada masa ini.

Menteri besar Pahang itu berkata walaupun saranan itu berkenaan PRU, ia turut berkait dengan PRK kerana kedua-duanya melibatkan pergerakan massa.

“(Pergerakan orang ramai) ini boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, larangan untuk perhimpunan di tempat awam melebihi 20 orang akan menyekat perjalanan kempen manakala garis panduan untuk kempen rumah ke rumah juga masih belum ditetapkan.

Beliau juga membangkitkan bahawa sekutu Umno, PAS sudahpun meminta agar kerusi itu tidak dipertandingkan dan PKR serta Pakatan Harapan menyatakan kesediaan untuk tidak bertanding.

Sehubungan itu, saranannya agar semua parti memberi kemenangan percuma kepada Umno dan BN hanya berasaskan kepada realiti semasa dan tidak menunjukkan parti itu bersikap riak dan takbur.

“Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti lain termasuk calon Bebas atau mana-mana calon tajaan supaya tidak bertanding.

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik Covid-19 yang menggerunkan,” katanya.

Allahyarham Abu Bakar menang besar di kerusi  dalam kawasan Parlimen bekas perdana menteri Najib Razak itu dengan meraih 10,027 undi menewaskan calon PAS (5,405 undi) dan PKR (1,065) undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen 14 hari bermula 20 Jun manakala hari pengundian pada 5 Julai dan menganggarkan PRK itu akan menelan kos RM4.3 juta. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen