Kematian pertama Covid-19 selepas 14 hari tiada kes


Ragananthini Vethasalam

Jumlah pesakit Covid-19 di Malaysia yang sudah pulih adalah seramai 6,610 orang atau 80% daripada jumlah jangkitan kumulatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

MALAYSIA hari ini melaporkan kematian pertama selepas 14 hari tiada kes kematian menjadikan jumlah keseluruhan seramai 116 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pesakit yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki berusia 61 tahun mempunyai sejarah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, gout, diabetes dan kanser.

Dia yang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang Johor meninggal dunia pada jam 10.20 malam semalam.

Sementara itu jumlah jangkitan baharu berjumlah 19 orang selepas merekodkan peningkatan sebanyak 277 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah jangkitan nasional kepada 8,266 kes.

Seramai 51 orang pula sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital setakat tengah hari ini.

Ini menjadikan jumlah pesakit pulih seramai 6,610 orang atau 80% daripada jumlah jangkitan kumulatif. 

Dari 19 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tujuh merupakan kes import sementara 12 adalah kes tempatan.

Sembilan daripada 12 kes tempatan melibatkan penduduk tempatan.

Jumlah kes aktif pula sebanyak 1,540. Enam pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana seorang memerlukan alat bantuan pernafasan.– 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen