Muhyiddin umum RM35 bilion untuk jana semula ekonomi


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sebanyak RM35 bilion diberi bagi menjana semula ekonomi yang terjejas ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

PERDANA MENTERI Muhyiddin Yassin mengumumkan dana RM35 bilion untuk menjana semula ekonomi yang terjejas ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak RM10 bilion daripada jumlah itu merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan yang nmelibatkan 40 inisiatif, katanya dalam siaran langsung petang ini.

Skim dinamakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan 40 inisiatif itu dilaksana dengan tiga teras – Memperkasa rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi, katanya.

Katanya, ia termasuk dalam peruntukan RM9 bilion untuk memanfaatkan tiga juta pekerja, termasuk Perluasan Program Subsidi Upah dengan melanjutkannya semalam tiga bulan lagi.

Di bawah skim itu, subsidi upah RM600 sebulan diberikan kepada setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat.

Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion pula menyediakan insentif RM800 gaji bagi penganggur bawah 40 tahun dan RM1,000 untuk penganggur berusia lebih 40 tahun dan OKU.

Golongan terpinggir seperti OKU dan ibu tunggal juga akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM300 yang akan dibayar sebelum Hari Raya Aidiladha, katanya.

Beliau juga mengumumkan pengecualian cukai bagi pembelian kereta baharu dan baucar e-dompet bagi menggalakkan perbelanjaan dalam negara, yang terjejas teruk akibat usaha menangani Covid-19.

Jelasnya, dana berkenaan akan digunakan untuk menjamin pekerjaan untuk golongan muda dan pekerja yang hilang pekerjaan.

Pakej berkenaan turut meliputi geran mikro untuk perniagaan kecil dan skim untuk membolehkan mereka menggunakan teknologi bagi menjual produk dan perkhidmatan dalam talian.

Kerajaan juga tidak akan mengenakan cukai selama 15 tahun untuk pelaburan baharu dalam bidang pembuataan dan aset tetap bernilai RM500 juta ke atas, katanya.

Selain itu, kerajaan akan memberi geran kepada pengusaha taman asuhan kanak-kanak untuk memastikan pusat tersebut mematuhi SOP apabila dibuka semula.

Cukai pelancongan juga akan dikecualikan bagi tempoh 1 Julai hingga 30 Jun 2021, kata Muhyiddin.

Bagi merangsang pembelian rumah dan sektor harta tanah, kerajaan akan memperkenalkan semua Kempen Memiliki Rumah, katanya.

Ia merupakan tambahan kepada dana RM260 bilion yang diperuntukkan dalam pakej rangsangan terdahulu, Prihatin Rakyat dan Prihatin PKS Tambahan.

Katanya, langkah itu bagi menghadapi penguncupan ekonomi dan dan pengangguran yuang dijangka meningkat kepada 5.5% atau lebih 860,000 orang sepanjang 2020. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen