2 lagi menteri Kabinet Muhyiddin letak jawatan?


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dikatakan akan meletak jawatan untuk menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

DUA lagi menteri dalam Kabinet Muhyiddin Yassin disebut-sebut akan meletak jawatan untuk menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, lapor Harian Metro.

Tindakan dua menteri tersebut kemudiannya akan disusuli menteri lain, menurut satu sumber yang tidak dinamakan dalam laporan itu.

“Sekurang-kurangnya dua menteri. Selepas itu dijangkakan ada lagi,” kata sumber tersebut.

Spekulasi itu menjadi perhatian apabila salah seorang anggota Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof mengumumkan akan mengadakan sidang media di kediamannya petang ini.

Seorang timbalan menteri dari Bersatu Shahruddin Md Salleh sudahpun meletak jawatan semalam yang dikaitkan dengan pemecatan Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin kanan Bersatu minggu lalu.

Sebaik meletak jawatan, Shahruddin semalam mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan disambut dengan mesra oleh ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir turut menyiarkan rakaman video pertemuan itu dengan ucapan “Selamat kembali”.

Pemimpin lain yang dilucut jawatan daripada Bersatu bersama Dr Mahathir termasuk anaknya yang juga timbalan presiden Mukhriz Mahathir dan ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dua lagi adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik dan seorang ahli Parlimen Amiruddin Hamzah.

Mereka dikenakan tindakan itu kerana didakwa duduk bersama blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada bulan lalu. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen