9 pejuang Syria maut serangan udara Israel


Pasukan Syria menembak sistem anti-pesawat sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Hama. – Gambar EPA, 5 Jun, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA sembilan pejuang yang setia kepada rejim Syria, termasuk empat warganya, terbunuh dalam serangan udara Israel pada lewat Khamis di wilayah Hama, wilayah tengah yang dikuasi tentera Syria dan Iran, kata satu kumpulan pemantau.

Mereka yang terbunuh adalah “sebahagian daripada pasukan rejim atau pasukan Iran (sekutu),” lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Jumlah sembilan yang meninggal dunia mungkin bertambah kerana beberapa orang cedera parah dalam serangan itu, tambahnya.

Pasukan Syria menembak sistem anti-pesawat sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Hama, lapor kumpulan itu.

Terdapat letupan dan jumlah korban yang tidak dapat ditentukan di wilayah Masyaf, selepas serangan udara Israel terhadap kedudukan rejim, lapornya.

“Kawasan itu berada di bawah kawalan tentera Syria dan Iran,” kata ketua kumpulan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Beliau berkata, sasarannya adalah kilang dan pusat penyelidikan yang menghasilkan roket jarak dekat.

“Sistem pertahanan udara kami bertindak balas terhadap serangan Israel terhadap Masyaf di luar bandar Hama,” lapor agensi berita negara SANA.

Israel telah melancarkan ratusan serangan di Syria sejak bermulanya perang saudara pada 2011.

Ia mensasarkan pasukan kerajaan, tentera bersekutu Iran dan pejuang daripada kumpulan militan Syiah Lubnan, Hizbullah.

Ia jarang mengesahkan perincian operasinya di Syria, tetapi berkata kehadiran Iran untuk menyokong Presiden Bashar al-Assad adalah ancaman dan ia akan meneruskan serangannya. – AFP, 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen