Bersatu Johor zahir taat setia kepada Sultan


Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata titah Sultan Johor itu dilihat lebih kepada mahu menjaga keamanan dan keharmonian negeri dan rakyat daripada terus dilanda kemelut politik berpanjangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

BERSATU Johor hari ini menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar supaya wakil rakyat negeri ini tidak terus berebut kuasa jika tidak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. 

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata titah Sultan Johor itu dilihat lebih kepada mahu menjaga keamanan dan keharmonian negeri dan rakyat daripada terus dilanda kemelut politik berpanjangan. 

“Seboleh-bolehnya kami sebagai wakil rakyat tidak mahu sampai bubar DUN (terutama) dengan keadaan sekarang tidak sesuai (Covid-19). Kami harapkan suasana harmoni ini, kami dapat jaga dan pertahankan seperti titah baginda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah dan Penyampaian Hadiah Guru Cemerlang sempena ‘Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri’ di Johor Bharu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa itu berkata demikian ketika mengulas mengenai titah Sultan Ibrahim semalam yang memberi amaran kepada wakil rakyat negeri ini supaya berhenti daripada perebutan kuasa.

Justeru, sebagai mengelakkan Johor daripada menjadi kucar-kacir dan untuk menjaga dan membela nasib rakyat, baginda akan mempertimbangkan untuk membubarkan DUN, jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Ini merupakan kali kedua Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada wakil rakyat Johor, berhubung kemelut politik negeri itu, selepas kali pertama berbuat demikian ketika perasmian DUN Johor ke-14 Mei lepas. – Bernama, 4 Jun, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen