'Ikut nasihat Abah, kita mesti menang'


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diapit Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang (kiri) dan Adun Tenang Solihan Badri sambil memegang kemeja-T tertera slogan 'Ikut Nasihat Abah; Kita Mesti Menang' pada pertemuan malam tadi. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2020.

SEMBILAN Adun Bersatu Johor mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika ada laporan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu akan tumbang.

Mereka menyatakan sokongan itu dalam satu pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya di Kuala Lumpur malam tadi.

“Kesemua Adun yang hadir akur dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk bersama-sama memastikan kepentingan rakyat dijunjung dan pada masa yang sama akan menguatkan Bersatu negeri sebagai pendokong kerajaan negeri,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, yang disiarkan di Facebook.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dalam isu keahlian Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu.

“Bersatu Johor juga memandang tinggi pencapaian Tan Sri Muhyiddin sepanjang mentadbir negara dalam menangani isu ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh rakyat akibat serangan virus Covid-19,” kata mereka.

Pada pertemuan itu, mereka turut menghadiahkan kemeja-T kepada Muhyiddin yang tertera slogan “Ikut Nasihat Abah; Kita Mesti Menang”.

Kenyataan media mereka juga menyebut hanya seorang Adun Bersatu iaitu Osman Sapian (Kempas) yang juga bekas menteri besar Johor tidak hadir pada pertemuan malam tadi.

Pertemuan turut disertai bekas Adun PKR, Dr Chong Fat Full (Pemanis) yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong PN.

Pertemuan di rumah Muhyiddin malam tadi dibuat ketika Sultan Johor memberi amaran sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya wakil rakyat negeri itu terus berebut kuasa untuk membolehkan rakyat memberi mandat baharu kepada kerajaan pilihan mereka.

Johor adalah negeri pertama yang beralih pentadbiran selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya pada awal Mac lalu.

PN kini menguasai 29 daripada 56 kerusi di DUN Johor. Daripada jumlah itu, 14 kerusi diwakili oleh Umno, 11 Bersatu, 2 MIC dan 1 PAS. Seorang Adun bebas menyokong PN.

Pakatan Harapan yang tumbang susulan pertukaran kerajaan di Putrajaya mempunyai 27 kerusi, terdiri daripada 14 DAP, 9 Amanah, dan 4 PKR. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen