MPT Bersatu bermesyuarat malam ini, seminggu selepas 'pecat' Dr Mahathir


Mesyuarat malam ini antara urusan parti yang pertama dihadiri Muhyiddin Yassin selepas beliau menjalani kuarantin 14 hari dan disahkan negatif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan bermesyuarat malam ini, seminggu selepas parti memberhentikan keahlian lima ahli Parlimennya termasuk pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir.

Notis panggilan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya, yang berkata beliau diarahkan menjemput anggota MPT hadir ke satu mesyuarat malam ini.

“Agenda mesyuarat akan menyusul,” katanya dalam notis itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Notis itu merujuk Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi Bersatu.

Seorang ahli MPT mengesahkan menerima notis tersebut.

Mesyuarat ini dipercayai antara urusan parti yang pertama yang dihadiri oleh Muhyiddin selepas beliau menjalani kuarantin 14 hari dan disahkan negatif Covid-19.

Muhyiddin menjalani pengasingan di rumah selepas hadir satu mesyuarat pada 20 Mei lalu yang turut disertai seorang pegawai yang positif Covid-19.

Perdana menteri hari ini kembali bertugas di pejabatnya di Putrajaya dan mempengerusikan mesyuarat Kabinet, lapor Bernama. 

Mesyuarat ini juga diadakan selepas Muhyiddin memecat dua pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir, iaitu Marzuki Yahya dan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi.

Marzuki dipecat daripada jawatan ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang melalui sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Muhyiddin bertarikh 2 Jun, hampir tiga bulan selepas diketepikan sebagai setiausaha agung parti.

Marzuki mempertikaikan keabsahan tindakan itu dan mendakwa dirinya masih setiausaha agung parti yang sah.

Akramsyah dipecat daripada jawatannya sebagai ahli MPT lantikan, dan merupakan antara tujuh pengasas Bersatu.

Lebih tiga minggu lalu, MPT Bersatu juga dijadual bermesyuarat – tanpa Dr Mahathir dan Mukhriz. Mesyuarat itu bagaimanapun dibatalkan hanya beberapa jam selepas notis panggilan mesyuarat dikeluarkan.

Notis panggilan mesyuarat ketika itu juga dikeluarkan oleh Suhaimi, yang bertindak atas arahan daripada pimpinan yang tidak dinamakan.

Suhaimi, antara pemimpin yang bersama Muhyiddin, minggu lalu dipecat oleh Marzuki, yang menjalankan tugas seperti biasa sebagai setiausaha agung parti.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Bersatu Kelantan, Sazmi Miah sebagai setiausaha kerja parti yang baharu.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar daripada Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen