Singapura, China wujudkan laluan pantas urusan perniagaan penting, rasmi


SINGAPURA dan China bersetuju mewujudkan laluan pantas bagi memudahkan perjalanan rasmi dan perniagaan penting di antara kedua-dua negara.

Laluan pantas itu akan diwujudkan di antara enam wilayah dan perbandaran China – Chongqing, Guangdong, Jiangsu, Shanghai, Tianjin dan Zhejiang – dengan Singapura.

Skim ini dibuka untuk pemastautin di Singapura dan China yang perlu melakukan perjalanan rasmi atau perniagaan penting di antara kedua-dua negara.

Menurut Kementerian Luar serta Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura, pengaturan itu akan diperluas secara beransur-ansur kepada wilayah dan perbandaran China yang lain.

Dalam kenyataan bersama di Singapura semalam, kedua-duanya berkata negara ini meneroka pengaturan laluan panas rintis itu bersama-sama beberapa negara dan wilayah lain.

“Ini adalah sebahagian pembukaan semula sempadan Singapura secara beransur-ansur kepada rakyat Singapura dan pemastautin menjalankan aktiviti penting di luar negara,” kata kedua-dua kementerian berkenaan.

Singapura juga akan membenarkan perjalanan selamat untuk warga asing memasuki negara ini  dalam jumlah yang terhad, dengan perlindungan yang diperlukan akan dilaksanakan untuk memastikan pertimbangan kesihatan awam diutamakan.

Negara ini kini berada dalam fasa pertama pembukaan semula ekonomi setelah mengakhiri pemutus jangkitan yang ketat pada 1 Jun.

Pada 28 Mei, Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong berkata Singapura sedang berunding dengan Malaysia mengenai pengaturan laluan hijau, untuk perjalanan penting dalam jumlah yang terhad dan dengan perlindungan, dapat dilakukan secara selamat.

Pengaturan laluan hijau dengan beberapa negara pula dinilai mempunyai risiko penularan komuniti yang setara atau lebih rendah seperti Singapura. – Bernama, 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen