Pemberian tunai secara 'one-off' tidak berkesan, kata MTUC kepada kerajaan


Setiausaha Agung MTUC J Solomon beri cadangan elaun bulanan sebanyak RM1,000 untuk setiap pekerja miskin, dan juga skim subsidi gaji bagi berpendapatan lebih RM4,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

PELAN pemulihan ekonomi Putrajaya untuk jangka pendek tidak boleh bergantung kepada kaedah konvensional seperti pemberian tunai sekali sahaja kepada pekerja yang terjejas wabak, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pelan yang akan dilancarkan bulan ini, tidak boleh mengasingkan masalah pengangguran dan pekerja daripada pemulihan ekonomi, kata Setiausaha Agung J Solomon dalam satu kenyataan.

MTUC mencadangkan agar kerajaan merancang elaun bulanan sebanyak RM1,000 untuk setiap pekerja miskin, dan juga tambah skim subsidi gaji bagi menampung mereka yang berpendapatan melebihi RM4,000.

“Kerajaan perlu membuang kaedah konvensional seperti memberi wang tunai sekali sahaja, dan sebagai gantinya, memperkenalkan langkah yang menyediakan jaring keselamatan mapan untuk pekerja,” kata Solomon.

Elaun RM1,000 harus menjadi sebahagian daripada jaring keselamatan bagi pekerja B40 dan M40 sehingga ekonomi kembali ke landasan yang betul.

“Pengkritik akan cepat mendakwa kerajaan tidak memiliki kemampuan kewangan,” kata kenyataan itu.

“Namun, MTUC berasa ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan kerajaan, perlu diingatkan harga minyak semakin pulih dan kerajaan juga memiliki rizab asing yang cukup besar.”

Berhubung peningkatan skim subsidi gaji kepada pekerja berpendapatan melebihi RM4,000, MTUC berkata ini akan membantu mengekalkan pekerja, terutama penduduk tempatan.

Pelan pemulihan jangka pendek juga harus memasukkan Peraturan Pekerjaan Kecemasan (EER), yang MTUC membangkitkannya kepada Muhyiddin Yassin selepas beliau memegang jawatan pada Mac.

Kongres itu berkata perdana menteri harus melihat keperluan mendesak untuk memperkenalkan EER, yang mencegah pemberhentian pekerja untuk jangka waktu tertentu.

Putrajaya juga digesa mengambil kira data Persekutuan Majikan Malaysia yang menganggarkan sehingga 2 juta pekerja mungkin hilang kerja ketika musim Raya berakhir, serta amaran daripada Jabatan Perangkaan mengenai pengangguran dan kemelesetan yang semakin teruk pada akhir tahun.

MTUC mencadangkan lanjutan tempoh enam bulan moratorium bank berhubung pembayaran perumahan dan pinjaman kereta.

Moratorium, yang diumumkan semasa perintah kawalan pergerakan, bermula dari April hingga September.

“Langkah ini akan sangat memberi kelebihan kepada ribuan pekerja yang kehilangan pekerjaan atau dipaksa menerima pemotongan gaji yang besar, menjadikan mereka tidak dapat membayar pinjaman mereka dalam tempoh yang sukar ini,” kata MTUC.

Membuat perbandingan dengan negara lain, ia berkata Jerman memperuntukkan 60% dari produk domestik kasarnya untuk membantu pekerja dan ekonomi, sedangkan Malaysia hanya menggunakan 18%.

Kerajaan didesak untuk menggunakan sebahagian rizab asingnya, sesuatu yang sudah dilakukan oleh negara lain, tambah MTUC. – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen