2 kawasan di Banting dikenakan PKPD


Polis dan tentera berkawal di jalan masuk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di Kuala Langat, Selangor susulan perintah pengurungan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2020.

KAWAT berduri dipasang di beberapa kawasan perumahan di Banting, Selangor selepas kawasan tersebut ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tengah malam tadi.

Menurut laporan, Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Bukit Changgang dikenakan perintah pengurungan selepas lebih 20 warga asing diuji positif virus Covid-19.

“Pihak berkuasa diperintahkan untuk memasang pagar dan sekatan di dua kawasan Bukit Changgang,” kata seorang sumber polis Selangor, tanpa memberi perincian operasi tersebut.

“Pengumuman rasmi akan dibuat hari ini oleh menteri yang bertanggung jawab.”

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat pengumuman mengenai perkembangan terbaru ini pada sidang media hariannya hari ini.

Sebelum Banting, PKPD dikuatkuasakan di Jalan Masjid India, Mansion Selangor, Malayan Mansion, Menara City One yang semuanya terletak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya Old Town dan Hulu Langat di Selangor dan Simpang Renggam di Johor.

Negara kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dijangka tamat minggu depan pada 9 Jun.

Sekatan tersebut dikuatkuasakan untuk menghentikan penyebaran jangkitan koronavirus yang setakat ini menjangkiti 7,877 dan meragut 115 nyawa. Sehingga semalam, masih terdapat 1,292 kes aktif di Malaysia. – 3 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen