Penduduk Sarawak diminta terus waspada ketika sambutan Gawai


Penguatkuasaan agensi kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan SOP sambutan Gawai diikuti sepanjang tempoh PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

HARI ini, dalam meraikan sambutan Hari Gawai yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, ketua menteri Sarawak dan timbalannya meminta rakyat di Sarawak untuk terus mematuhi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara.

Abang Johari Openg berkata penguatkuasaan oleh agensi-agensi kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk membuat setiap rakyat di negeri itu mematuhi prosedur yang ditetapkan di bawah PKPB dalam tempoh perayaan berkenaan.

“Pihak kerajaan tidak mampu untuk memeriksa setiap rumah dan kampung, tetapi saya percaya ketua kampung dan tuai rumah (ketua rumah panjang) masing-masing akan sentiasa memastikan prosedua operasi standard (SOP) dan protokol perayaan yang telah ditetapkan, dipatuhi oleh semua,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai.

Timbalannya Amar Douglas Uggah Embas, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, senada dengan beliau, mengingatkan tindakan itu dibuat disebabkan kerisauan terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam tempoh pasca perayaan.

“Ketika kita meraikannya (Hari Gawai), kita tidak boleh alpa. Saya perlu memohon maaf atas sekatan yang dikenakan sempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya. Ia perlu dilaksanakan untuk menghentikan penularan Covid-19,” katanya.

Uggah berkata tujuan kerajaan negeri melarang mereka yang meraikan Hari Gawai untuk pulang ke rumah panjang masing-masing semasa perayaan itu, bukan sahaja seiring dengan sekatan perjalanan rentas negeri atau daerah yang dilaksanakan di seluruh negara, tetapi atas kebimbangan terhadap kesejahteraan golongan yang mudah dijangkiti Covid-19.

Katanya, sebahagian besar penduduk rumah panjang adalah warga emas yang berisiko tinggi dan kira-kira 80.7% daripadanya mempunyai sejarah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan masalah jantung.

“Demi menjaga kesihatan ibu bapa kita yang sudah berusia, ‘aki’ (datuk) dan ‘inik’ (nenek), mak cik, pak cik serta anak saudara kita, lebih baik kita tidak pulang (ke rumah panjang). Kita mungkin boleh membentuk kluster Gawai jika gesaan ini tidak diendahkan,” katanya.

Sementara itu seorang aktivis sosial Sarawak, Ang Lai Soon berkata sekatan yang dikenakan di bawah PKPB itu tidak wajar dilihat sebagai melemahkan semangat Gawai yang menandakan kecemerlangan sepanjang tahun. – Bernama, 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen