Malaysia dijangka catat pemulihan ekonomi berperingkat bermula suku tahun depan


Kemerosotan bulanan paling ketara sejak November 1991 sebahagian besarnya berikutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

SELEPAS penguncupan ekonomi dijangka pada suku kedua 2020, Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan secara berperingkat bermula dari suku ketiga bergantung kepada kemajuannya dalam memerangi penularan Covid-19, menurut MIDF Research.

Dalam nota hari ini, katanya pemulihan akan turut bergantung kepada bagaimana seluruh dunia, terutamanya rakan dagang utama Malaysia, memerangi penularan virus tersebut berikutan ini akan memberi impak kepada permintaan global untuk produk negara.

“Pakej rangsangan ekonomi dijangka akan mengurangkan impak daripada Covid-19,” menurut MIDF Research, yang merupakan sebahagian daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Katanya Indeks Pelopor (LI) Malaysia merosot kepada -4.9 peratus bulan ke bulan pada Mac daripada -0.8 peratus bulan ke bulan pada Februari, menunjukkan kemelesetan ekonomi untuk tempoh Julai-September 2020.

Kemerosotan bulanan paling ketara sejak November 1991 sebahagian besarnya berikutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac, menurut firma penyelidikan itu.

Katanya pertumbuhan eksport Malaysia mencatatkan paras terendah dalam tempoh empat bulan pada Mac. Jumlah perdagangan susut 3.8 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import, masing-masing  merosot 4.7 peratus dan 2.7 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) secara keseluruhannya turut merosot sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac, penyusutan pertama sejak Disember 2015 dan paling ketara sejak September 2009.

Prestasi tersebut, yang kurang memberangsangkan daripada jangkaan pasaran, berdasarkan kemerosotan dalam semua sub-indeks.

“Ia telah dijangka berikutan gangguan dalam rantaian penawaran dan permintaan secara keseluruhan di peringkat domestik dan global disebabkan Covid-19. Malaysia telah menguatkuasakan PKP pada Mac. Secara keseluruhannya, pada suku pertama tahun ini, IPP berjaya mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan walaupun pada kadar sederhana sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2019: 1.3 peratus tahun ke tahun).

“Mengenai masa depan, kami menjangka prestasi IPP pada suku kedua 2020 akan merosot, berikutan PKP yang dilanjutkan dan harga komoditi yang turun naik,” menurut MIDF Research.

Ia mengunjurkan kadar pengangguran melepasi syarat guna tenaga penuh empat peratus dalam tempoh beberapa bulan akan datang tetapi menyatakan apabila kerajaan membuka semula ekonomi, pasaran pekerjaan akan pulih secara berperingkat dan kebimbangan mengenai Covid-19 akan mula berkurangan. – Bernama, 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen