Kes cabar sidang Parlimen 18 Mei didengar 30 Julai


Peguam dan aktivis sosial meminta pengisytiharan mahkamah yang persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu tidak berperlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

CABARAN undang-undang terhadap perdana menteri dan speakar Dewan Rakyat kerana mengehadkan persidangan 18 Mei hanya untuk ucapan Yang di-Pertuan Agong akan didengar pada 30 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas mendengar pengurusan kes pagi tadi.

Permohonan itu difailkan oleh peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam, yang meminta pengisytiharan mahkamah yang persidangan satu hari itu tidak berperlembagaan.

“Perkara yang dibangkitkan oleh permohonan ini sangat penting bagi demokrasi berparlimen kita,” kata Kengadharan kepada The Malaysian Insight hari ini.

Kedua-duanya diwakili oleh peguam T Gunaseelan sementara Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali bagi Jabatan Peguam Negara (AGC).

Para pemohon berkata mereka menyerahkan surat mahkamah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff pada 21 Mei.

Dalam saman pemula yang diajukan pada 15 Mei, kedua-duanya berkata notis dikeluarkan kepada anggota Parlimen berhubung persidangan sehari itu bertentangan dengan Perlembagaan persekutuan dan Perintah Tetap.

Dalam afidavit, mereka berkata langkah itu menghalang pembentangan dan perdebatan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang diusulkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka berkata urusan sehari itu tidak memenuhi kehendak Artikel 55 perlembagaan kerana tidak ada perkara penting lain akan dibincangkan, seperti disyaratkan oleh Perintah Tetap 14 (1).

Permohonan itu datang beberapa hari sebelum persidangan 18 Mei tetapi Kengadharan memberitahu The Malaysian Insight, walaupun ia didengar selepas persidangan itu, ia tidak akan menjadikan permohonan mereka akademik.

“Kami ingin persidangan itu diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan,” katanya. – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen