Dakwaan letak jawatan hanya khabar angin, kata Redzuan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof menolak khabar angin akan meletak jawatan dan akan teguh menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei 2020.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof menolak khabar angin mengenai peletakan jawatannya dalam Kabinet sebagai sokongan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, lapor Harian Metro.

Menurutnya itu hanyalah khabar angin dan disebarkan ketika beliau masih dalam kuarantin.

“Tiada perkara macam itu (peletakan jawatan), hanya khabar angin,” katanya.

Beliau dengan tegas berkata tetap teguh menyokong pemerintahan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin terutama dalam menangani Covid-19 dan krisis ekonomi.

Pada masa sama, beliau mengakui beliau menemui Dr Mahathir semalam.

Laporan Berita Harian menyebut, ahli Parlimen Alor Gajah itu mengesahkan pertemuan berlangsung Yayasan Kepimpinan Perdana pagi semalam.

Mohd Redzuan juga dilaporkan berkata, beliau yang sepatutnya menjalani kuarantin mendapatkan kelulusan khas daripada Majlis Keselamatan Negara untuk berjumpa Dr Mahathir.

“Saya boleh berjumpa selepas mendapat pelepasan daripada MKN, sebab saya negatif (Covid-19).

“Pertemuan itu perjumpaan biasa. Ziarah sempena Aidilfitri. Kita kawan baik, kawan lama. Tidak ada bincang soal politik.

“Saya nasihat dan mengajak Tun supaya sama-sama bantu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai kawan-kawan’ untuk membina semula negara sebab kita sedang dilanda Covid-19,” katanya.

Menurutnya Dr Mahathir memberi reaksi positif ke atas saranan berkenaan.

Bagaimanapun Mohd Redzuan menafikan pertemuan dengan Dr Mahathir berkaitan dengan dakwaan beliau akan akan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional.

“Pertemuan itu juga bukan seperti dilaporkan media yang saya akan tinggalkan PN. Itu tidak betul. Itu semua fitnah orang yang ada kepentingan, yang nak burukkan saya,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu sepatutnya dikuarantin kerana menghadiri satu mesyuarat bersama individu yang positif Covid-19 minggu lalu. Mesyuarat itu turut dihadiri Muhyiddin.

Redzuan merupakan antara beberapa pemimpin Bersatu yang menemui Dr Mahathir semalam.

Turut dilaporkan menyertai pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Shahruddin Md Salleh.

Pertemuan itu berlangsung ketika timbul spekulasi bahawa Redzuan dan Shahruddin mengadakan sidang media bersama di ibu pejabat Bersatu hari ini pada jam 5 petang.

Bagaimanapun setiausaha politik Redzuan kemudian mengeluarkan kenyataan menolak laporan mengenai sidang media yang dikatakan dan berkata menteri itu sedang dikuarantin.

Kedua-duanya disebut-sebut akan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan mengurangkan majoriti PN kepada 111, kurang daripada jumlah 112 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Dua lagi yang hadir adalah ahli Parlimen yang turut dilucut keahlian Bersatu bersama Dr Mahathir – anaknya Mukhriz dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik. – 30 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen