Robert Kuok banyak kali selamatkan MCA, termasuk jamin bekas presiden


TAIKUN Malaysia Robert Kuok beberapa kali menyelamatkan parti MCA, pernah sekali membayar wang jaminan sebanyak RM20 juta untuk seorang pemimpinnya serta menyelamatkan projek-projek perniagaan yang gagal.

Dalam memoirnya, Kuok berkata beliau “sering terheret ke dalam kancah politik Malaysia” walaupun selepas berpindah ke Hong Kong pada 1980-an.

Semalam, Kuok berkata beliau didatangi kepimpinan MCA untuk menjamin presidennya ketika itu, Tan Koon Swan yang didakwa dengan jenayah pecah amanah di Singapura.

Hakim Singapura menetapkan ikat jamin sebanyak RM20 juta, jumlah yang tidak pernah didengar ketika itu.

“Ketika itu saya berada di Kuala LUmpur. Telefon kereta saya tak berhenti berdering,” kata Kuok.

“Kepimpinan MCA merayu  kepada saya. “Hanya awak seorang yang boleh menjaga air muka kami. Kami tidak mempersoalkan tindakan Singapura, tetapi kami tak sanggup melihat presiden kami masuk penjara. Kami cuma mahu jamin dia. Bolehkah awak tolong jamin?

Kuok meminta nasihat ibunya, dan ibunya memberitahu yang beliau harus “menjamin atas sebab politik”.

“Jadi, saya ambil tindakan. Saya minta keistimewaan dari kerajaan Singapura, membenarkan saya masuk mahkamah melalui pintu tepi kerana di bahagian depan ada media,” kata Kuok.

Beberapa bulan selepas dijamin, Koon Swan dijatuhi hukuman dan dipenjarakan.

“Apabila dia dibebaskan, dia terus ke Johor dan mengucapkan terima kasih kepada Ibu,” kata Kuok.

Beliau juga berkata beliau “dipanggil” apabila MCA menghadapi masalah kewangan bebrapa tahun selepas itu.

Kebiasaannya, mendiang pemimpin MCA Tan Siew Sin yang juga anak kepada pengasas parti, Tan Cheng Lock akan datang berjumpa beliau.

Siew Sin datang untuk memita derma politik, atas kapasitinya sebagai presiden MCA dan bendahari Barisan Nasional (BN).

“Saya mengenali Siew Sin ketika dia berkhidmat dalam kerajaan. Dia menteri yang mengadakan sekatan ketika saya memohon lesen untuk Malayan Sugar Manufacturing.

Kuok berkata beliau akan menyumbang dana kepada BN dan MCA “terutamanya apabila pilihan raya tiba”.

Kata Kuok, pada akhir 1980-an, bekas pemimpin MCA Ling Liong Sik datang berjumpa beliau di Hong Kong untuk memohon bantuan menyelamatkan Multi-Purpose Holdings Bhd, termasuk beberapa syarikat seperti sindiket perjuadian berlesen, Magnum Corp; syarikat hartanah besar, Bandar Raya; dan Dunlop Estate.

“Saya ambil (alih) jawatan pengerusi dan dengan bantuan rakan-rakan sekerja di Kuok Group iaitu Oh Bak Kim dan Ong Ie Chong, kami berjaya memulihkannya.

Sepanjang hayatnya, Kuok berkata, beliau telah “membersihkan” tiga projek berkontroversi tinggi; syarikat keluli pelaburan Jepun, Malayawata; Malaysia-Sngapore Airlines dan Multi-Purpose Holdings.

“Robert Kuok, A Memoir” pertama kali dilancarkan secara eksklusif di Bookazine di Hong Kong dan di semua kedai-kedai buku utama di Singapura pada Sabtu. Ia akan dilancarkan di Malaysia pada Jumaat dan di Indonesia pada 1 Januari. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen