Kerajaan ada SOP tempat tinggal pekerja asing, kata Ismail Sabri


Pekerja asing beratur untuk menjalani pemeriksaan Covid-19 di Pudu Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

KERAJAAN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) mengenai tempat tinggal pekerja asing iaitu di kuarters dan rumah kongsi mereka di negara ini sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kedua-dua premis berkenaan mempunyai SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata kuarters pekerja asing diletakkan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) manakala rumah kongsi pula adalah di bawah seliaan KSM.

“Kedua-dua premis itu mempunyai SOP berkaitan tempat tinggal, keluasan lantai, tempat berkumpul, jumlah individu yang boleh tinggal dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, isu mengenai tempat tinggal pekerja asing di kuarters dan rumah kongsi di negara ini, akan dijelaskan secara terperinci oleh Kementerian Sumber Manusia esok.

Ismail Sabri berkata kuarters dan rumah kongsi pekerja asing termasuk dalam pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019.

Beliau berkata maklumat terperinci mengenai kedua-dua premis berkenaan akan diumumkan esok.

“Kerajaan turut mempunyai banyak lagi ketetapan melibatkan polisi pekerja asing yang telah dibentang dan diluluskan. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet, perkara ini (polisi pekerja asing) telah diteliti dan jika Kabinet bersetuju kerajaan akan umumkan kemudian.

“Langkah ini antara lain dibuat oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang bekerja di negara ini,” katanya. – Bernama, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen