187 kes baharu Covid-19, kebanyakannya dari depot tahanan imigresen


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 187 jangkitan dilaporkan hari ini di mana 173 melibatkan warga asing dan kebanyakannya di pusat tahanan Imigresen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

MALAYSIA mencatatkan angka tiga digit kes Covid-19 untuk hari kedua dengan 187 jangkitan dilaporkan hari ini di mana 173 melibatkan warga asing dan kebanyakannya di depot tahanan imigresen.

Angka ini menunjukkan peningkatan jumlah jangkitan nasional kepada 7,604, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Daripada jangkitan baharu tersebut 155 kes dikesan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil sementara 13 daripadanya berasal dari kluster pengawal keselamatan di Cheras.

Sementara itu 62 orang sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital setakat tengah hari ini.

Ini menjadikan jumlah pesakit pulih seramai 6,041 atau 79.45% daripada jumlah jangkitan.

Tidak ada kematian dilaporkan hari ini menjadikan angka kematian kekal 115 orang. 

 

Katanya, terdapat 10 kes import yang melibatkan tujuh rakyat Malaysia dan tiga pasangan pemastautin tetap.

Noor Hisham berkata terdapat empat kes tempatan dan 1,448 kes aktif.

Beliau berkata terdapat lapan pesakit ditempatkan di dalam unit rawatan rapi (ICU), di mana lima pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen