Arab Saudi tamatkan sekatan 21 Jun tetapi masih gantung umrah


Arab Saudi masih menggantung ibarah umrah walaupun negara itu akan menamatkan sekatan pergerakan dan perintah berkurung bagi membendung Covid-19 bermula 21 Jun ini. – Gambar EPA, 26 Mei, 2020.

ARAB Saudi akan menamatkan sekatan pergerakan dan perintah berkurung membendung Covid-19 bermula 21 Jun ini namun masih menggantung ibadah umrah, lapor media.

Ia juga akan mula membuka masjid di luar Mekah bermula Ahad ini (31 Mei), termasuk untuk solat jemaah dan solat Jumaat, lapor agensi berita Saudi.

Arab Saudi mengenakan perintah berkurung 24 jam selama lima hari sepanjang sambutan Aidilfitri, yang dijadual berakhir Khamis ini.

Antara Khamis dan Ahad ini, perintah berkurung dipendekkan antara 3 petang hingga 6 pagi, dan selepas itu dipendekkan antara 8 malam hingga 6 pagi bermula 31 Mei hingga 20 Jun.

Dalam tempoh itu, pihak berkuasa Arab Saudi membenarkan perjalanan antara bandar dan wilayah dalam negara di luar tempoh berkurung.

Penerbangan antarabangsa ke negara itu bagaimanapun masih digantung.

Aktiviti perniagaan termasuk pusat membeli belah juga dibenarkan untuk dibuka semula pada waktu yang terhad, tertakluk kepada syarat pencegahan penularan wabak.

Setakat ini, Arab Saudi mencatatkan hampir 75,000 kes jangkitan Covid-10 dengan hampir 400 kematian.

Pada Mac lalu, ia menggantung pengeluaran visa umrah bagi membendung penularan wabak. 

Pihak berkuasa Arab Saudi juga sebelum ini menasihati umat Islam di seluruh dunia untuk menangguhkan terlebih dahulu persiapan menunaikan ibadah haji yang dijadual pada Julai ini. – 26 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen