Korea Selatan hukum penjara lelaki langgar arahan kuarantin


Korea melaporkan 19 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 11,225 kes. – Gambar EPA, 26 Mei, 2020.

SEORANG lelaki Korea Selatan dihukum penjara empat bulan hari ini kerana melanggar peraturan kuarantin koronavirus, kata pihak berkuasa.

Ini hukuman penjara pertama dijatuhkan atas kesalahan seumpama itu.

Korea Selatan antara negara paling teruk berdepan dengan situasi wabak itu – pada satu ketika ia negara kedua di dunia paling teruk terjejas selepas China – tetapi krisis itu ditangani dengan baik menerusi program “jejak, uji dan rawat”.

Kebanyakan bahagian di negara itu kembali normal dan ratusan ribu murid kembali ke sekolah, satu langkah yang ingin ditiru ketika sebahagian besar Eropah akan mula dibuka semula.

Tertuduh yang berusia 27 tahun itu ditahan pada April selepas melanggar peraturan kuarantin sebanyak dua kali.

Tertuduh keluar dari kediamannya ketika diarahkan mengasingkan diri selama 14 hari dan kemudian dipindahkan ke pusat kuarantin, di mana dia sekali lagi ditangkap keluar tanpa kebenaran.

Mahkamah Daerah Uijeongbu menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadapnya mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit.

Pihak pendakwa sebelum itu memohon hukuman penjara setahun.

Pihak berkuasa Korea Selatan meningkatkan langkah pencegahan wabak itu susulan kluster baharu di kelab malam awal bulan ini.

Bermula semalam orang ramai diwajibkan memakai topeng perlindungan ketika menggunakan pengangkutan awam dan teksi di seluruh negara.

Pada Februari, Korea Selatan mengenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda AS$8,000 jika sengaja melanggar arahan kuarantin.

Pihak berkuasa melaporkan 19 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 11,225 kes. – AFP, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen