WHO tangguh ujian hidroksiklorokuin bagi rawatan Covid-19


Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata semua ujian klinikal hidroksiklorokuin sebagai rawatan berpotensi untuk Covid-19 dihentikan sementara. – Gambar AFP, 26 Mei, 2020.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menghentikan sementara ujian klinikal hidroksiklorokuin sebagai rawatan berpotensi untuk Covid-19.

Keputusan itu dibuat selepas sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet minggu lalu, menunjukkan bahawa ubat itu dapat meningkatkan risiko kematian di kalangan pesakit Covid-19, kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya.

Tedros berkata kumpulan eksekutif yang digelar Solidarity Trial, di mana ratusan hospital di seluruh dunia mendaftarkan pesakit untuk menguji beberapa kemungkinan rawatan untuk Covid-19, menangguhkan percubaan menggunakan ubat itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kumpulan eksekutif berkenaan menghentikan sementara penggunaan hidroksiklorokuin dalam percubaan rawatan dan data keselamatan kini diselia oleh Lembaga Pemantauan Keselamatan Data.

“Bahagian percubaan yang lain berlanjutan,” kata Tedros.

Hidroksiklorokuin biasanya digunakan untuk merawat arthritis tetapi tokoh masyarakat termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyokong ubat itu sebagai rawatan virus, mendorong pemerintah untuk membelinya secara besar-besaran.

Malah, Trump turut mengakui mengambil ubat berkenaan lebih semingu sebagai usaha mencegah jangkitan Covid-19.

Ketua saintis WHO Soumya Swaminathan pada taklimat semalam berkata Percubaan Solidariti hanya melihat kesan hidroksiklorokuin dan bukan klorokuin.

Keputusan menangguhkan pendaftaran untuk percubaan menggunakan hidroksiklorokuin adalah langkah sementara, katanya. – AFP, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen