Thailand uji vaksin Covid-19 terhadap kera


Seorang juruteknik makmal sedang menjalankan ujian dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 di Pusat Penyelidikan Vaksin di Universiti Chulalongkorn, Thailand. – Gambar EPA, 26 Mei, 2020.

THAILAND sedang menjalankan ujian terhadap kera, dalam perlumbaan untuk menghasilkan vaksin koronavirus yang lebih murah dan ia diharapkan dapat siap pada 2021, kata penyelidik.

Lebih 100 calon vaksin pada masa ini berada di pelbagai peringkat pembangunan di seluruh dunia, dengan sekurang-kurangnya lapan sedang diuji secara klinikal terhadap manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Penyelidik Oxford University dianggap mendahului dalam perlumbaan ini, memulakan ujian klinikal pada bulan lalu terhadap pelbagai virus berbeza yang menyebabkan jangkitan terhadap cimpanzi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Primat Thailand Dr Suchinda Malaivitjitnond yang menyelia suntikan vaksin terhadap kumpulan pertama 13 kera pada Sabtu, berkata beliau berharap vaksin “Buatan Thailand” akan lebih murah berbanding ubat dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Fasa ujian terhadap kera itu dibuat selepas ujian terhadap tikus didapati berjaya, kata penyelidik.

Mereka bekerjasama dengan University of Pennsylvania di AS menggunakan teknologi baharu berdasarkan kepada mRNA, sejenis bahan genetik yang tidak pernah digunakan untuk membuat vaksin sebelum ini.

Proses itu membabitkan menyuntik bahan genetik virus untuk mencetuskan respons imun dengan menghasilkan protein yang bertindak terhadap virus itu.

Sekurang-kurangnya dua syarikat lain – gergasi farmaseutikal Pfizer dan Moderna berpangkalan di AS – sedang membangunkan vaksin menggunakan teknologi sama.

Thailand adalah negara pertama di luar China yang mengesan jangkitan itu pada pertengahan Januari, dan setakat ini melaporkan lebih 3,000 kes dan 57 kematian.

Jika ujian terhadap kera itu berjalan lancar, ujian terhadap manusia akan bermula pada Oktober, kata Dr Kiat Ruxrungtham, pengerusi Pusat Penyelidikan Vaksin di Universiti Chulalongkorn. – AFP, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen