Hanya 2 kes baharu Covid-19 di Thailand


Petugas kesihatan mengambil sampel sarungan Covid-19 penduduk di Bangkok, Thailand. Negara itu mencatatkan dua kes baharu Covid-19 hari ini. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

THAILAND melaporkan dua kes baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlahnya kepada 3,042 kes dan 57 kematian, sejak wabak itu melanda pada Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terbaharu itu melibatkan seorang wanita berusia 68 tahun dari wilayah selatan Chumphon, yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan dijangkiti wabak itu serta mempunyai sejarah penyakit diabetes, masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Beliau berkata dua kes baharu Covid-19 ialah seorang wanita Cina yang merupakan isteri kepada warga Itali, pesakit disahkan Covid-19 di Phuket dan seorang tukang urut wanita Thailand berusia 55 tahun yang menjalani kuarantin di sebuah kemudahan negeri setelah pulang dari Rusia.

“Sehinga kini, lebih daripada 96 peratus pesakit atau 2,928 telah sembuh dan discaj daripada hospital. Sebanyak 57 pesakit masih berada di wad,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di Bangkok hari ini.

Ketika Thailand terus merekodkan angka tunggal dalam kes baharu Covid-19, negara itu dijangka memulakan fasa ketiga kelonggaran pada 1 Jun.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Tanarak Plipat berkata perniagaan dan venue di bawah risiko rendah Covid-19 (zon kuning) dijangka dibuka semula dan menyambung operasi pada fasa kelonggaran seterusnya.

“CSSA dijangka membuat pengumuman senarainya, mungkin pada Rabu atau Khamis,” katanya dipetik Bangkok Post.

Stadium tinju, rumah urut, spa, panggung wayang, pusat boling, taman permainan, venue persidangan, pusat pameran perdagangan dan sekolah tutorial adalah perniagaan dan tempat-tempat di bawah risiko rendah yang dijangka beroperasi semula.

Bagaimanapun, pub, bar dan pusat hiburan malam akan terus ditutup.

Pada Jumaat, dalam mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha bersetuju untuk melanjutkan perintah darurat sehingga 30 Jun.

Mesyuarat itu turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh berkurung pada waktu malam yang kini dilaksanakan dari 11.00 malam hingga 4.00 pagi.

Pelanjutan itu tertakluk kepada kelulusan Kabinet esok. – Bernama, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen