Thailand uji vaksin Covid-19 terhadap monyet


Lebih 100 calon vaksin kini menjalani ujian perubatan itu dalam pelbagai peringkat di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya lapan ujian klinikal dilakukan ke atas manusia. – Gambar AFP, 25 Mei, 2020.

THAILAND melaksanakan ujian vaksin Covid-19 ke atas monyet sebagai usaha menghasilkan ubat virus itu yang lebih murah.

Pengarah Pusat Kajian Primat Kebangsaan Dr. Suchinda Malaivitjitnond berkata ujian itu dilakukan terhadap 13 ekor monyet dan beliau berharap vaksin itu akan dihasilkan menjelang 2021 dan lebih murah berbanding ubat buatan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya ujian ke atas monyet itu dilakukan selepas ujian ke atas tikus menunjukkan hasil positif.

Pihaknya bekerjasama dengan Universiti Pennsylvannia di AS menggunakan teknologi baharu, mRNA, bahan genetik yang tidak pernah digunakan dalam pembuatan vaksin.

Proses ujian itu melibatkan suntikan bahan genetik bagi mencetuskan tindak balas sel imunisasi dengan menghasilkan protein bagi menentang virus maut itu.

Sekurang-kurangnya dua syarikat farmasi, Pfizer dan Moderna menghasilkan vaksin menggunakan teknologi sama.

Thailand merupakan negara pertama luar China yang mengesan jangkitan Covid-19 pada pertengahan Januari tetapi hanya mencatatkan lebih 3,000 kes dan 57 kematian.

Jika berjaya, ujian ke atas manusia akan bermula pada Oktober.

Lebih 100 calon vaksin kini menjalani ujian perubatan itu dalam pelbagai peringkat di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya lapan ujian klinikal dilakukan ke atas manusia.

Pengkaji Universiti Oxford dianggap pendahulu dalam menghasilkan vaksin Covid-19 apabila memulakan ujian klinikal pada bulan lepas ke atas cimpanzi. – AFP, 25 Mei, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen