Anak petugas kesihatan diberi tempat khas, bukan diskriminasi, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengulas dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa anak petugas kesihatan tidak perlu menjadi mangsa amalan dan dasar diskriminasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendiskriminasi anak-anak petugas barisan depan di pusat jagaan kanak-kanak tetapi hanya menempatkan mereka di lokasi khas, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan mengulas dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa anak petugas kesihatan tidak perlu menjadi mangsa amalan dan dasar diskriminasi.
 
MMA menyuarakan kritikan itu selepas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan menyatakan bahawa anak-anak petugas barisan hadapan perlu diasingkan daripada kanak-kanak lain di pusat asuhan.

“Bukan kami sekat. Kami khaskan satu tempat untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Kalau taska di hospital, tidak ada masalah. Namun, kalau bergaul dengan kanak-kanak lain, perlu khaskan.

Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan merupakan antara satu daripada lapan kumpulan yang berisiko dijangkit virus maut itu.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) di taska, yang masih di peringkat cadangan itu dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. 

“Ini bukan pengasingan tetapi khaskan di satu tempat. Kami memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan. Mungkin cara kita mengolah perkataan seolah-olah seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan juga sentiasa diingatkan mematuhi langkah keselamatan apabila kembali ke pangkuan keluarga termasuk tidak terus menyentuh anak-anak mereka sebelum melakukan amalan pembersihan diri. 

Beliau berkata SOP taska itu akan diperhalusi dan dibentangkan kepada MKN sebelum dilaksanakan.

“KKM ingin mengulangi bahawa tiada sebarang diskriminasi dalam memberi rawatan COVID-19 kepada semua, sama ada kepada warganegara atau bukan warganegara, dewasa, atau kanak-kanak,” katanya. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen