Indonesia rekod 479 kes baharu Covid-19


Berdasarkan kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam hari ini, sebanyak 223 kes baharu daripada 479 kes dicatatkan berlaku di Jawa Timur manakala 75 kes di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

KES positif jangkitan Covid-19 di Indonesia kini meningkat kepada 22,750 dengan 1,391 kematian direkodkan.

Jurucakap Pemerintah Indonesia mengenai Covid-19 Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 479 kes positif baharu dicatatkan manakala berlaku 19 lagi kematian akibat virus itu.

“Ketika ini, seramai 12,342 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan, dalam sidang media sama, berkata beberapa peraturan berkaitan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta, yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun depan, berkemungkinan dilonggarkan sekiranya kes positif virus menunjukkan trend menurun.

“Jika kes tidak berkurangan, (PSBB) akan dilanjutkan lagi, yang penting adalah warga Jakarta utamakan kepentingan bersama dan bukannya diri sendiri, semoga Kota Jakarta dapat beroperasi semula dengan protokol-protokol baharu, aktiviti sosioekonominya dapat beroperasi semula dengan normal baharu,” katanya.

PSBB di wilayah Jakarta berkuat kuasa secara berperingkat sejak 15 Mac lepas sebelum dilanjutkan sehingga 4 Jun menerusi beberapa tambahan peraturan berkaitan amalan penjarakan sosial.

Berdasarkan kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam itu, sebanyak 223 kes baharu daripada 479 kes dicatatkan berlaku di Jawa Timur manakala 75 kes di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain.

Tiada kes kematian berlaku di Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas namun wilayah itu masih mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi setakat ini iaitu 501 kes diikuti Jawa Timur (292 kes) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia. – Bernama, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen