China hantar misi ke Marikh seawal Julai 2020


Misi ke Marikh antara program angkasa baru yang dikejar China selain menghantar angkasawan ke bulan dan mempunyai stesen angkasa menjelang 2022. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

CHINA dijangka melancarkan misi ke Marikh pada Julai ini dengan melibatkan perancangan menghantar robot kawalan jauh di planet itu.

Beijing melaburkan berbilion dolar dalam program angkasanya bagi menyaingi Amerika Syarikat (AS) dan mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar dunia.

Misi ke Marikh antara program angkasa baru yang dikejar China selain menghantar angkasawan ke bulan dan mempunyai stesen angkasa menjelang 2022.

Beijing sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan misi ke Marikh pada tahun ini, tetapi Perbadanan Teknologi Sains dan Angkasa China (CASC) mengesahkan misi itu akan dilakukan seawal Julai.

“Ini merupakan projek besar dan akan dilakukan pada Julaim” kata CASC dalam satu kenyataan.

CASC merupakan kontraktor utama program angkasa China.

Misi yang dikenali sebagai Tianwen itu melibatkan penghantaran satelit ke orbit Marikh dan kenderaan robot bagi meneroka planet itu.

Misi itu akan mengambil masa beberapa bulan disebabkan jarak 55 juta kilometer antara Bumi dan Marikh.

China sudah melakukan misi sama ke Bulan pada Januari 2019 apabila mendaratkan kenderaan robot kecil di kawasan gelap bulan, sekali gus menjadi negara pertama berbuat demikian.

AS sebelum ini sudah menghantar empat misi jelajah ke Marikh dan merancang yang kelima pada pertengahan tahun ini.

Misi itu dijangka mengambil masa sehingga Februari tahun depan.

Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merancang melancarkan satelit pertama Arab ke Marikh pada 15 Julai dengan misi pelancaran dilakukan dari Jepun. – AFP, 25 Mei, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen