India kesan 6,997 kes baharu, paling tinggi dalam sehari


Kerajaan India hari ini mengumumkan mengesan 6,977 kes jangkitan baharu menjadikan keseluruhan kes mencecah 138,845 walaupun perintah kurungan dikenakan sejak dua bulan lalu. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

INDIA mencatatkan rekod jangkitan Covid-19 paling tinggi dalam masa sehari, menjadikannya antara 10 negara paling teruk terjejas di dunia, ketika kerajaan republik itu membenarkan penerbangan domestik kembali beroperasi, hari ini, lapor Reuters.

Kerajaan India hari ini mengumumkan mengesan 6,977 kes jangkitan baharu menjadikan keseluruhan kes mencecah 138,845 walaupun perintah kurungan dikenakan sejak dua bulan lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 4,000 pesakit meninggal dunia.

Peningkatan kes terbesar dalam sehari di India ini dicatatkan ketika negara itu melonggarkan sekatan termasuk pergerakan antara daerah.

Reuters melaporkan penumpang yang menunggu penerbangan berkata suasana di lapangan terbang di New Delhi agak suram, sementara pihak berkuasa melakukan kawalan ketat bagi memastikan penjarakan sosial.

Kebenaran penerbangan domestik itu bagaimanapun mencetuskan kekeliruan apabila sesetengah negeri menguatkuasakan syarat kuarantin walaupun kerajaan persekutuan tidak mengenakan sebarang syarat.

“Terbang untuk jumpa keluarga pun rasa macam masuk zon perang. Pelitup muka dan sarung tangan menambahkan tekanan,” kata Subham Dey, seorang jurutera yang ingin pulang ke Assam dari New Delhi.

India menggantung semua penerbangan komersial pada akhir Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Minggu lalu, ia mengumumkan lebih kurang 1,050 penerbangan sehari kembali beroperasi hari ini, atau satu pertiga daripada kapasiti biasa.

Perkhidmatan kereta api pula menambah perjalanan khas dalam masa 10 hari ini bagi membantu pekerja di luar daerah untuk pulang ke kampung halaman selepas terperangkap sejak sekatan perjalanan pada 24 Mac lalu.

Sekatan perjalanan itu menyebabkan sesetengah pekerja yang tiada pilihan kerana bergaji harian berjalan kaki untuk pulang, termasuk perjalanan lebih 1,000 km. – AFP, 25 Mei, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen