UK buka sekolah 1 Jun 


Britain hanya akan membuka sekolah rendah untuk tadika, Tahun 1 dan Tahun 6 selepas sistem pendidikan negara itu ditutup sejak 20 Mac lalu bagi membendung Covid-19. – Gambar AFP, 25 Mei, 2020.

UNITED Kingdom akan meneruskan pelan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula 1 Jun ini, kata Perdana Menteri Boris Johnson, tetapi bukan untuk semua murid sekolah rendah selepas ada bantahan daripada ibu bapa dan guru.

Sekolah rendah hanya dibuka untuk tadika, Tahun 1 dan Tahun 6, lapor media.

“Saya sekarang maklum bahawa membuka semula sekolah pada 1 Jun mungkin tidak munasabah bagi semua sekolah tetapi kerajaan akan terus menyokong dan berusaha bersama pihak yang terlibat untuk memastikan mana-mana sekolah yang berdepan masalah boleh dibuka dengan lebih luas secepat mungkin,” katanya, seperti dipetik The Guardian.

Kesatuan guru dalam reaksi segera dilaporkan berkata ini adalah pengakuan pertama pihak kerajaan bahawa mustahil sekolah boleh dibuka sepenuhnya seperti biasa dalam masa terdekat.

Dalam pengumumannya, Johnson juga berkata murid Tahun 10 dan Tahun 12 yang akan menduduki peperiksaan awam akan hadir kelas bersama guru mulai 15 Jun ini.

Sekolah di UK ditutup sejak 20 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Johnson membuat pengumuman itu semalam bagi membolehkan ibu bapa membuat persiapan awal menjelang pengumuman hasil semakan berkala tiga minggu sekali yang akan diumumkan pada Khamis ini.

Katanya, pembukaan semula sekolah mustahak kerana pendidikan mempunyai kesan jangka panjang kepada kebajikan, kesihatan dan keadilan sosial rakyat.

“Sejajar dengan keputusan yang dibuat di beberapa negara lain, kita mahu anak-anak kembali ke sekolah dengan cara yang munasabah dan selamat,” katanya, dipetik BBC.

UK mengesan 259,559 kes Covid-19 dengan 36,793 kematian. Semalam saja, pihak berkuasa kesihatannya mengesan 2,409 kes baharu jangkitan. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen