AS sekat perjalanan dari Brazil


Presiden AS Donald Trump mengenakan sekatan perjalanan dari Brazil yang kini menjadi lokasi utama baharu pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengenakan sekatan perjalanan dari Brazil yang kini menjadi lokasi utama baharu pandemik Covid-19, umum White House.

Warga asing tidak dibenarkan masuk ke AS jika mereka berada di Brazil dalam tempoh 14 hari sebelum memohon kebenaran, kata setiausaha akhbar White House Kayleigh McEnany. 

Bagaimanapun, urusan perdagangan dikecualikan daripada sekatan tersebut, tambah McEnany.

“Langkah ini akan memastikan warga asing yang berada di Brazil tidak membawa jangkitan baharu dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Brazil merekodkan 360,000 jangkitan Covid-19 dengan 22,000 kematian, menjadikannya berada di tempat kedua selepas AS yang melaporkan kes tertinggi di dunia.

Presiden Brazil Jair Bolsonaro, sekutu Trump, diberi jolokan “Tropical Trump” kerana juga menganggap wabak Covid-19 hanya selesema biasa.

Seperti juga Trump, Bolsonaro meremehkan krisis kesihatan yang dihadap di negaranya, dan berpendapat perintah berkurung akan melumpuhkan ekonomi Brazil.

Bagi Brazil, langah terbaharu yang dikuatkuasakan AS dianggap sebagai prosedur biasa.

“Keputusan itu sama seprti yang diambil sebelum ini iaitu menyekat perjalanan dari negara yang terjejas akibar Covid-19 termasuk China, Iran, UK dan Ireland,” menurut kenyataan Kementerian Luar Brazil.

Malah Brazil sendiri menyekat kemasukan warga asing bagi mengekang wabak Covid-19. – AFP, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen