Kluster baharu Covid-19 dikesan di depoh tahanan imigresen


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan masih menyiasat punca jangkitan Covid-19 yang dikesan di depoh Bukit Jalil dan Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

KLUSTER baharu Covid-19 melibatkan enam kes dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Sepang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Enam jangkitan berkenaan merupakan antara 60 kes baharu hari ini, yang 53 daripadanya melibatkan penularan tempatan.

Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 melibatkan warga asing, katanya dalam satu kenyataan.

Manakala 27 daripadanya dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan depoh Sepang mencatatkan enam jangkitan.

Sebelum ini, Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil turut merekodkan 60 jangkitan.

Semalam, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan masih menyiasat punca jangkitan Covid-19 yang dikesan di depoh Bukit Jalil dan Semenyih.

Menurutnya, masih belum jelas sama ada kes itu bermula di kalangan tahanan atau kakitangan depoh berkenaan, memandangkan tahanan tidak pernah meninggalkan depoh.

“Kami sedang menyiasat punca jangkitan. Kami akan melihat sama ada pekerja di depoh itu sendiri yang menyebabkan jangkitan kerana tahanan tidak ke mana-mana, tetapi pekerja yang masuk dan keluar,” katanya pada sidang media harian Covid-19 semalam.

Tiada sidang media diadakan hari ini kerana cuti umum Hari Raya.

Noor Hisham berkata, walaupun semua pendatang tanpa izin ditahan dari kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) telah menjalani ujian saringan Covid-19, masih ada kemungkinan “satu atau dua daripada mereka tertinggal”.

Katanya, virus berkenaan juga mungkin hanya muncul selepas 14 hari tempoh inkubasi.

Serbuan untuk mengumpulkan pendatang tanpa izin bermula pada 1 Mei, kali pertama di Menara City One dan kemudian di bangunan dan kawasan PKPD yang lain.

Kerajaan dikritik kerana melakukan serbuan semasa PKPD selepas memberikan jaminan sebelumnya yang tindakan tidak akan diambil terhadap pendatang untuk menggalakkan mereka tampil menjalani ujian Covid-19.

Para pengkritik memberi amaran yang tindakan meletakkan tahanan dalam kaawasan sempit boleh menyebabkan jangkitan baru.

Noor Hisham berkata para tahanan akan diuji bagi koronavirus sebelum ditempatkan di pusat tersebut, dan hanya mereka yang diuji negatif akan ditempatkan di sana. – 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen